Thursday, February 4, 2010

Tidur, mimpi dan alam kubur

Intro

Manusia yang mati, rohnya terpisah daripada jasad dan memasuki alam kubur atau nama lainnya alam barzakh. Di alam barzakh, orang yang membawa bekalan dosa dari dunia akan mendapat azab siksaan berterusan sehinggalah apabila kiamat tiba. Kemudian, mereka dibangkitkan di padang mahsyar untuk dihitung amalan, sama ada hayatnya selepas itu akan kekal di syurga atau neraka, atau sebahagian neraka dan kemudian syurga.


Senario

Manusia bernama A mati pada tahun 1900 manakala B mati sehari sebelum kiamat berlaku. Kedua-dua A & B adalah manusia yang zalim dan penuh dengan kemaksiatan, tidak sempat bertaubat ketika menemui ajal. Melalui ukuran masa, bukankah A akan menerima siksaan yang lama di alam barzakh berbanding B? Maka mari kita ikuti penerangannya:_

1. Masa hanyalah salah satu ciptaan Allah, iaitu aturan kejadian yang sedang, telah dan akan berlaku. Jadi ukuran tempoh kehidupan kita di dunia terikat dengan masa.

2. Ketika kita tidur atau bermimpi, adakah kita tahu berapa lama kita telah tidur? 5 minit? 14 jam? 20 hari? Kita hanya tahu tempoh kita tidur apabila kita terjaga daripada tidur dan melihat kepada jam. Jadi, tiada langsung cara untuk seseorang yang sedang tidur untuk tahu berapa lama dia telah tidur. Kadang kala kita rasa kita telah bermimpi satu kisah yang berlaku bertahun-tahun lamanya, tetapi apabila terjaga, kita sebenarnya hanya terlelap 2 minit. Kadang kala kita rasa kita telah tidur teramat sekejap, tetapi kita telah tidur selama 10 jam.

3. Bezanya mimpi dan alam barzakh ialah, dalam mimpi kita tidak merasa kesakitan atau rasa fizikal tetapi di alam barzakh, kita akan rasa segala-galanya, sama ada yang selesa atau amat menyakitkan.

4. Alam barzakh tidak terikat dengan masa di dunia. Jadi insan A tadi boleh merasa telah disiksa beribu-ribu tahun di alam kubur & insan B juga sama sahaja akan merasa telah disiksa teramat lama walaupun hakikatnya dia hanya mati sehari sebelum kiamat. Seolah-olah B telah bermimpi ditikam di perut selama 10000 tahun tetapi kali ini semua kesakitan tersebut benar & dirasai. Jadi, walaupun B mati sehari sebelum kiamat, dia akan mengalami siksaan di alam barzakh yang setimpal dengan amalannya di dunia. Siksaan alam barzakh tiada kaitan dengan masa di dunia.

Dan begitulah salah satu keadilan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Wallu'alam.