Posting ringkas ini bertujuan untuk memberi penerangan ringan & mudah bagi ‘audience’ umum sekitar isu kenduri tahlil. Posting ini tidak bertujuan membincangkan dengan panjang lebar secara terperinci disertai dalil dan hujjah, kerana perkara tersebut telah dibuat banyak kali di serata media. Pendek kata, posting ni berharap untuk menjawab soalan ‘layman’ seperti berikut: “Ape yg orang asyik duk bising2 pasal kenduri tahlil ni??? Ape masalahnya??”
Pertama sekali, tahlil bermaksud menyebut kalimah ‘La Ilaha Illallah’ (Tiada tuhan selain Allah). Kalimah ini ialah satu bentuk zikir dan juga aqidah asas orang Islam. Maka bertahlil merupakan amalan membaca kalimah ‘La Ilaha Illallah’.
Kenduri tahlil di Malaysia pula dilakukan untuk berdoa memohon keampunan & menderma bacaan al-Quran kepada yang telah meninggal, termasuk menyediakan makanan kepada hadirin setelah bacaan tahlil selesai.
Maka perlu dibezakan antara bertahlil dan kenduri tahlil kerana kedua-duanya tidak sama.
Di sini terdapat 2 isu utama tentang kenduri tahlil.
1. Sama ada pahala bacaan al-Quran kepada si mati sampai atau tidak?
- Di sini terdapat 2 pendapat para ulama’. Sebelah pihak mengatakan tidak sampai dan sebelah yang lain pula mengatakan pahala sampai. Kedua-dua belah pihak mempunyai dalil tersendiri maka tiada masalah di sini. Ini hanyalah perbezaan pendapat yang kecil dan tak perlu berbalah tentangnya. Imam Syafi’e, imam mazhab kita di Malaysia, mengatakan pahala bacaan al-Qur’an tersebut tidak sampai. Dan inilah juga pegangan peribadiku.
- Juga perlu dibezakan antara berdoa memohon keampunan dan menyumbang pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Berdoa agar diberi keampunan kepada si mati adalah sunnah kerana terdapat di dalam hadith tetapi isu menderma pahala bacaan Quran adalah diperselisih seperti diterangkan di atas.
2. Hidangan makanan ketika kenduri tahlil.
- Di sini perlu sedikit kritikal. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat miskin yang bersusah payah membuat kenduri tahlil, sehingga menggunakan duit anak yatim (anak si mati) bagi menyediakan makan kepada hadirin. Cara ini amat salah di sisi Islam. Yang terdapat dalam hadith ialah orang lain yang menyumbangkan makanan & sumbangan bagi meringkankan beban kepada keluarga yang ditimpa tragedi tersebut. Di Malaysia, terbalik pulak jadinya. Amalan inilah yang dikritik oleh banyak pihak yang memahami masalah ini.
Apa yang perlu sekarang cuma kefahaman berkaitan 2 isu yang telah diterangkan di atas & disertakan dengan penambahbaikan. Sesiapa yang tidak yakin dengan kenduri tahlil, maka tidak perlu buat. Sesiapa yang yakin dengan amalan ini, buatlah dengan cara yang betul. Tiada sengketa di antara duanya. Insya Allah. Wassalam.
No comments:
Post a Comment